Karnival Jempol 2012 diadakan bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi dengan kakitangan swasta dan kerajaan yang mewakili jabatan dan agensi masing-masing khususnya di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia.
Selain itu, karnival ini juga menjadi platform terbaik bagi para pengusaha dan usahawan setempat memperkenalkan dan memasarkan hasil produk mereka. Antara produk yang ditawarkan terdiri daripada hasil pertanian dan penternakan, produk proses seperti makanan sejuk beku, sos cili, dan sebagainya.
Pelbagai acara yang berlangsung sebagai pengisian sepanjang dua hari Karnival Jempol ini diadakan seperti acara Pertandingan Tarik Tali, Pertandingan Bercerita Kanak-kanak, Pertandingan Karaoke dan Persembahan Artis, Osbon dan Ekin AF3. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Chef Wan yang membuat demostrasi masakan.
Karnival ini turut menyaksikan Majlis Anugerah Usahawan Felda yang disempurnakan oleh YB. Tan Sri Hj. Mohd Isa Bin Dato' Hj. Abdul Samad dengan kehadiran Ahli Parlimen Jempol dan EXCO Pertanian, IAT, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan.
Perasmian Karnival Jempol 2012 telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jempol, Dato' Hj. Lilah Bin Hj. Yasin yang menggantikan YB. Dato' Seri Ismail Sabri Bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan. Manakala Majlis Perasmian Penutup pula disempurnakan oleh wakil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, YBhg. Dato' Dr. Baharom bin Jani TKSU (Pembangunan)